Thursday, February 24, 2011

KOPI KAMPUNG, NASI GORENG

Tinggal dan membesar dengan nenek saya kira antara kemanisan zaman kanak kanak yang tak akan saya lupakan. Seorang yang sayangkan budak budak dan seorang yang begitu mementingkan pelajaran, walaupun beliau sendiri tidak dapat meneruskan persekolahan. ( Berkahwin pada usia muda ). Namun beliau sangat mementingkan pendidikan kami. Jangan sesekali berani ponteng sekolah. Daun inai di pokok akan naik ke atas belakang! Begitulah ketegasan nenek saya.

Setiap pagi, beliau akan bangun dan menyediakan sarapan pagi untuk saya dan kakak. (Itu lah sebabnya sehingga sekarang, saya tidak boleh meninggalkan sarapan pagi, walau sesibuk mana! ). Paling popular, nasi goreng dan kopi kampung. Senang dan ringkas. Dia akan menghidangkan kepada saya, lalu saya duduk dan bersimpuh menghabiskan sarapan pagi tersebut. Nasi goreng yang ringkas, cuma berisi lauk semalam, digoreng bersama cili padi dan bawang. Kadangkala ditambah telur dan sayur.(bergantung ).

Pada hari hari tertentu, saya akan sarapan pagi roti benggali putih ,dicicah kari.
Pada hari lain pula, biskut dicicah kopi!

Namun, seingat saya, saya jarang meninggalkan sarapan pagi ketika ke sekolah. Saya kira ini antara ungkapan kasih sayang arwah nenek buat saya. Beliau mahu saya mendapat yang terbaik terutamanya ketika saya hendak ke sekolah.
Balasannya, saya akan pastikan satu kucupan paling ikhlas hinggap di pipi beliau sebelum saya keluar melangkah dari rumah!

"Bye tok!" , dan beliau akan menanti di muka pintu melambai saya sehingga saya tidak lagi kelihatan.

Ini berterusan sehinggalah beliau pergi menghadap Ilahi ketika cuti penggal terakhir persekolahan (November 1989) sebelum saya melanjutkan pelajaran ke sekolah Tun Fatimah dan tinggal di asrama. Di sana,saya masih bersarapan dan jarang meniggalkannya walau selewat mana saya ke sekolah.
Namun, saya sudah tidak lagi dapat memberikan ciuman itu....dan tiada lagi orang melambai saya ketika saya melangkah kaki dari asrama ke sekolah.....
Al Fatihah

No comments: