Wednesday, September 28, 2011

Cinta Dalam Semangkuk Laksa...


gambar : mee soba digerai tak berkerusi, Japan Summer 2009

Dua minggu lepas, di tengah malam , saya menikmati laksa selepas menonton wayang, Johny English.
Nikmatnya, Allah sahaja yang tahu. Saya sendiri kurang pasti adakah disebabkan laksa itu memang sedap, atau harus makan kerana perut jadi kosong dek kerana tenaga yang dikeluarkan berdekah dekah ketawa di dalam panggung.

Saya menikmati laksa tersebut di Jalan 227 atau 222 ( tak pasti, maklum saja tengah malam. Keupayaan otak mencerap jadi lemah ).

Apabila saya terbau sahaja aroma kuah laksa sewaktu melangkah ke gerai tersebut, ingatan saya kembali pada suatu zaman di mana laksa ketika itu berharga Rm0.50 sepinggan.

Waktu itu, saya berusia 9 tahun. Tahun 1980an.

Waktu itu, saya sering mengunjungi rumah tauke laksa tersohor di Arau. Kami memanggilnya laksa Mak Dah. Orang yang membawa saya adalah tak lain tak bukan. Tok saya sendiri.

Laksa bukanlah kegemaran saya. Ia kegemaran satu-satunya kakak saya itu. Dan saya juga sedar, tok membawa kami ke rumah tauke laksa untuk menikmati laksa yang dikisar sendiri ( dari tepung beras ) dan dimasak kuahnya di rumah itu kerana kakak saya. Dia penggemar laksa tegar, bukan saya.

Saban minggu kami akan ke sana menaiki basikal. Saya menunggang sendiri. Kakak saya membonceng Tok saya. Jaraknya dekat sahaja. Selalunya selepas maghrib kami akan berbasikal ke sana. Bila tiba di sana, saya selalunya meminta laksa bersama telur dan kicap. Bagi saya tidak sah makan laksa tanpa kicap. Saya suka kuah laksa yang berwarna hitam.

Perkara ini berterusan sehinggalah kembalinya Tok saya ke rahmatullah pada tahun 1989 dan saya bersekolah di Johor Bahru tahun berikutnya.

3 tahun kemudian tauke laksa berkenaan juga kembali ke rahmatullah. Perniagaan laksa tersebut diserahkan kepada anaknya. Saya pula, makin jarang pulang ke kampung tersebut.

Sehingga hari ini, ada beberapa perkara yang tidak berubah. Pertama, apabila menyebut tentang laksa, saya tidak pernah terbayangkan laksa Kuala Perlis atau laksa Kak Su yang popular di Kuala perlis hari ini. Hakikatnya saya sering terbayang kenangan berbasikal bersama kakak dan tok untuk menikmati laksa Mak Dah. Ia kenangan yang melekat di benak saya hingga hari ini.

Kedua, di gerai laksa yang saya kunjungi malam tadi, saya juga masih memesan laksa tersebut bersama kicap. (Kicap tidak ada, jadi saya terpaksa berpuas hati dengan petis sahaja ).

Yang berubah, harga ! Di sini, hari ini, harganya RM4.00.

Bermakna : harga laksa beras tersebut telah meningkat 8 kali ganda dari tahun 1988.

1988 hingga 2011, jangka masa 23 tahun.

Jadi, dalam masa 23 tahun, harga laksa meningkat 8 kali ganda.

Doa saya, seiring peredaran usia, biarlah keimanan dan kecintaan saya kepada Allah turut sama meningkat berganda-ganda!Amin...

4 comments:

Teratak Hami said...

Masa kecil2 akak tak pernah jumpa laksa. Maybe after masuk sekolah menengah baru kenal laksa kot ...

Intanterpilih said...

is it??seriously??saya pulak dah masuk sekolah menengah baru kenal otak otak...will write about it!hehe

Ren said...

Hmmm sedapnya laksa beras... Teringat dulu2 mak saya slalu buat laksa beras..... sedap kan! Sekarang ni mahal yakmats!

Intanterpilih said...

Sharin,
hehe..betul..laksa beras lain rasa dari laksa yg byk kanji tu..hehe tp kt umai laksa tak best langsung..hehe